Perlawanan Selangor FC II menentang Sarawak United berkesudahan seri 1 – 1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 10 Ogos 2021. Foto Facebook Selangor FC
AGENDASUKANKINI

Piala Malaysia: Penonton dibenar ke stadium seawal 29 Okt

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan kempen Piala Malaysia 2021 akan mula menerima kehadiran penonton di stadium seawal 29 Oktober ini.

MFL bagaimanapun akan mempertimbangkan untuk membenarkan kehadiran penonton lebih awal jika pasukan merancang mengadakan aksi persahabatan dalam tempoh saingan Piala Malaysia berehat dari 2 hingga 28 Oktober, tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP) terperinci daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Presiden MFL Datuk Ab Ghani Hassan menyifatkan kehadiran semula penonton ke stadium bukan sahaja satu perkhabaran gembira kepada penyokong bola sepak tempatan malah ia dapat menyemarakkan kembali industri bola sepak negara.

“Selepas penyokong tidak dibenarkan masuk (ke stadium) sejak 9 Mei lepas akibat lonjakan kes Covid-19 di negara ini, inilah perkhabaran gembira yang ditunggu-tunggu oleh kita semua khususnya penyokong-penyokong yang amat merindukan aksi bola sepak di stadium.

“Apatah lagi dalam suasana ketika kita semua meraikan ulang tahun ke-100 Piala Malaysia yang kini sedang berlangsung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ab Ghani turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak terutama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu kerana merealisasikan hasrat untuk penonton kembali dibenarkan ke stadium.

“Setinggi-tinggi terima kasih kerana membuka semula sekatan penyokong untuk kembali ke stadium serta acara-acara sukan yang lain selepas sekian lama venue kita cukup sepi tanpa kehadiran penyokong yang turut memberi impak kepada kelangsungan ekonomi dalam sektor sukan tanah air,” katanya.

Semalam, Ismail Sabri mengumumkan individu yang lengkap divaksinasi dibenarkan hadir menonton perlawanan sukan dan rekreasi kecuali kanak-kanak di bawah umur 18 tahun, berkuat kuasa esok.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 berkata kehadiran itu meliputi sebelum, semasa dan selepas acara dengan syarat, penonton atau penyokong memakai pelitup muka sepanjang perlawanan serta tiada aktiviti makan dan minum sepanjang berada di stadium.

Sementara itu, Ab Ghani berkata keputusan membenarkan kehadiran penonton menyaksikan perlawanan Piala Malaysia seawal 29 Oktober adalah kerana saingan itu akan berehat seketika selepas perlawanan terakhir esok bagi memberi laluan kepada aksi antarabangsa skuad kebangsaan.

Katanya MFL juga masih menunggu peratusan kemasukan penyokong ke stadium di negeri-negeri mengikut Fasa 2, 3 dan 4 yang akan dimaklumkan KBS bersama dengan SOP sukan yang ditetapkan bagi melancarkan pengelolaan perlawanan serta menjamin keselamatan semua pihak.

“Justeru, tempoh yang ada ini akan digunakan MFL untuk memperincikan SOP kemasukan penyokong ke stadium bersama MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan KKM (Kementerian Kesihatan) selain pasukan-pasukan mempunyai masa untuk membuat persiapan di venue pertandingan sebelum menerima kehadiran penyokong,” kata Ab Ghani.

Menurut kenyataan MFL, perlawanan terakhir yang berlangsung dengan kehadiran penonton di stadium pada 9 Mei lepas membabitkan perlawanan Liga Super yang menyaksikan hanya maksimum 2,000 penonton dibenarkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan maksimum 8,000 penonton bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

– BERNAMA


Pengarang :