Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berbahas mengenai RMK12 pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada 29 Sept 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pinda segera Seksyen 309 Kanun Keseksaan, bunuh diri bukan jenayah

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

SHAH ALAM, 29 SEPT: Kerajaan digesa mempercepatkan pindaan terhadap Seksyen 309 Kanun Keseksaan berhubung percubaan bunuh diri.

Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata pindaan itu supaya percubaan bunuh diri tidak lagi dikategorikan sebagai kesalahan jenayah sebaliknya satu faktor kesihatan mental.

“Saya ulangi supaya percepat (pindaan) Seksyen 309 Kanun Keseksaan, supaya perbuatan bunuh diri tak dikira jenayah,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya isu masalah mental ketika ini semakin membimbangkan sehingga membawa kepada kes bunuh diri sejak pendemik Covid-19.

“Kemelut Covid-19 telah mengakibatkan ramai anak menjadi yatim piatu selain memberi kesan masalah mental dan fizikal. Ramai telah hilang semangat untuk terus hidup dan pilih jalan pintas untuk tamatkan riwayat hidup,” katanya.

Selain itu beliau berkata inisiatif terkandung dalam Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) harus diterjemahkan dalam RMK-12 bagi memperkasa tadbir urus negara.

Katanya semua inisiatif terbabit wajar dijadikan akta supaya undang-undang khas dapat dibentuk dalam tempoh pelaksanaan RMK-12.

“Bayangkan apa yang boleh berlaku kepada negara ini sekiranya tidak ada governans dalam pentadbiran negara?.

“Sudah pasti akan berlaku salah guna kuasa dan ketirisan. Apa yang jadi, yang kaya, kaya raya, yang miskin, papa kedana,” katanya.


Pengarang :