Datuk Seri Saifuddin Nasution. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PKR persoal Muhyiddin dilantik pengerusi MPN, gagal urus Covid-19, ekonomi

SHAH ALAM, 4 SEPT: Lantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf menteri dipersoal Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).

Setiausaha Agungnya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan berkata bekas Perdana Menteri itu gagal menguruskan negara ketika wabak Covid-19 dari segi kesihatan, ekonomi mahupun pendidikan ketika memegang tampuk pemerintahan.

“Beliau juga bertanggungjawab melaksanakan darurat, kononnya dengan tujuan memerangi Covid-19, tetapi wabak menjadi lebih serius di akhir darurat.

“Pengakhiran darurat pula dibuat tanpa perbahasan di Parlimen sehingga pihak Istana Negara sendiri menegur tindakan kerajaan Muhyiddin mengelirukan Parlimen dan ini membawa kepada kejatuhan beliau,” katanya.

Tambah beliau, pelantikan itu juga menambah satu lagi lapisan birokrasi yang tidak wajar kerana Muhyiddin masih perlu membentangkan saranan MPN kepada Jemaah Menteri dahulu.

Hari ini, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali mengumumkan Muhyiddin dilantik sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf menteri oleh Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya Rabu lepas.

Katanya, pelantikan itu dibuat atas dasar keyakinan kerajaan terhadap kemampuan Muhyiddin menerajui strategi pemulihan negara, demi mencapai impak ekonomi terbaik dan memulihkan semula kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.


Pengarang :