Antara gerai di Bazar Ramadan Bandar Kinrara yang mendaftar saluran e-dagang Platform Selangor (PLATS) pada 19 April 2021. Foto MUSTAKIM RAMLI/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PLATS pasar produk 4,085 peniaga, mudahkan mohon bantuan

SHAH ALAM, 13 SEPT: Program Platform Selangor (PLATS) yang diperkenalkan tahun lalu memudahkan pemasaran produk 4,085 peniaga secara maya, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif dibangunkan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) turut menjadi platform digital untuk memohon bantuan negeri.

“PLATS telah mengumpulkan 4,085 peniaga atas satu platform digital supaya produk mereka mudah dipasarkan di samping bantuan program oleh Kerajaan Negeri.

“Selain itu, permohonan rebat Grab ke pusat pemberian vaksin (PPV), Data Internet Selangor dan Skim Pembiayaan Go Digital juga boleh dimohon menerusi PLATS,” katanya di Facebook hari ini.

Amirudin turut menggalakkan penduduk negeri ini melayari laman sesawang www.platselangor.com untuk menikmati manfaat disediakan selain membantu peniaga kecil meneruskan kelangsungan hidup.

PLATS diperkenal Ramadan tahun lalu bagi melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor membabitkan usahawan melalui satu platform digital.

Pada 11 April, Kerajaan Negeri melancarkan PLATS 2.0 bagi membantu peniaga menjana pendapatan sepanjang masa, tidak terhad ketika bulan puasa sahaja.

Foto Facebook Amirudin Shari

Pengarang :