Individu pulang dari luar negara dipakaikan gelang pengawasan sepanjang tempoh kuarantin di rumah. Foto Facebook Noor Hisham Abdullah
AGENDANASIONAL

Portal untuk penggembara mohon kuarantin dirumah dibuka mulai esok

SEPANG, 20 SEPT: Pengembara dari luar negara yang ingin menjalani kuarantin wajib di rumah atau kediaman boleh mengemukakan permohonan melalui Portal Home Quarantine Application (HQA) di laman web Kementerian Kesihatan (KKM) bermula esok, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

“Permohonan perlu dibuat dalam tempoh tujuh hingga 10 hari sebelum ketibaan ke Malaysia,” katanya, justeru pengembara yang akan tiba di Malaysia mulai 28 Sept boleh berbuat demikian melalui portal https://ecovid19.moh.gov.my/outbreak-portal-hqa.

Sebelum ini, beliau berkata permohonan pengembara untuk kuarantin di rumah atau kediaman dibuat melalui emel [email protected], dan menyebabkan terdapat lebih 6,000 permohonan tertunggak.

“Dengan wujudnya portal HQA ini, pengurusan permohonan dapat dilakukan dengan lebih baik. Selepas ini tiada lagi urusan melalui emel. Hanya perlu pergi ke laman web KKM dan ke bahagian ‘Home Quarantine’ serta mengisi satu borang yang disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas membuat lawatan ke Private Covid-19 Health Screening Centre di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini, yang turut disertai Pengerusi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Khairy berkata menerusi portal HQA, kelulusan bagi permohonan kuarantin akan diterima dalam tempoh tiga hari selepas pengembara menghantar permohonan lengkap.

Beliau berkata syarat untuk menjalani perintah kuarantin wajib di rumah atau kediaman akan diletakkan dalam portal tersebut dan antaranya ialah rumah atau kediaman tersebut mempunyai bilik dan tandas mencukupi bagi memastikan tiada pergaulan dengan ahli keluarga lain.

Beliau berkata KKM mempunyai kaedah tertentu untuk memastikan mereka yang kuarantin di rumah termasuk pengembara patuh pada arahan Pengawasan dan Pemantauan di Rumah (HSO) antaranya menggunakan gelang pengawasan pengesan digital.

“Ini adalah projek perintis yang mana kita akan pakaikan mereka dengan gelang sepanjang tempoh kuarantin. Sebaik sahaja projek ini diuji terhadap beberapa orang yang disasarkan, kita akan lihat sama ada ia sesuai atau tidak,” katanya.

Mengenai lawatannya ke KLIA hari ini, Khairy berkata ia bertujuan meninjau persediaan pembukaan sempadan negara di bawah strategi Reopening Safely Malaysia.

Reopening Safely Malaysia adalah satu strategi untuk memulihkan negara dari krisis kesihatan pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi yang dialami disebabkan krisis kesihatan.

“Sebab itu kita buat persiapan untuk Reopening Safely sempadan kita. Kita hendak melihat kepada persiapan kita di pintu masuk negara iaitu KLIA dan langkah-langkah yang dapat kita melaksanakan bersama terutamanya dengan MAHB apakah proses aliran yang lebih efisien, selamat dan teratur untuk mereka yang hendak masuk balik ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata antara penambahbaikan yang boleh dibuat di KLIA adalah mempermudahkan urusan pengembara dengan mengurangkan borang yang perlu diisi oleh mereka.

Katanya, perkara tersebut akan dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 untuk mempermudahkan prosedur sama ada melalui aplikasi MySejahtera atau mengurangkan stesen-stesen yang perlu dilalui pengembara.

– BERNAMA


Pengarang :