Pelajar Tingkatan Lima Tahun 2020 Athirah Akmal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka dan mengimbas suhu badan sebelum masuk ke kelas ketika tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa pada 24 Januari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PPN fasa tiga: KPM pertimbang pandangan pelbagai pihak sebelum buka sekolah

KUALA LUMPUR, 8 SEPT: Pandangan ibu bapa, guru dan pentadbir sekolah mengenai sesi persekolahan akan dipertimbang sebelum pelan komprehensif pembukaan sekolah dimuktamadkan bagi negeri Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN), menurut Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Menurut catatan melalui Facebook beliau semalam, Radzi memaklumkan saranan dan cadangan yang diberi akan diteliti dan diperhalusi sebelum sebarang keputusan dilaksanakan.

“Apa jua yang kami usahakan pastinya demi pendidikan generasi masa depan negara. Insya-Allah. KPM (Kementerian Pendidikan) sentiasa komited untuk melakukan yang terbaik,” katanya.

Menerusi hantaran tersebut, beliau turut menyertai satu sesi libat urus melibatkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru, guru besar dan pengetua sekolah dari Negeri Sembilan hari ini berhubung perkara itu.

Ahad lepas, Radzi mengadakan siri pertama perbincangan bersemuka dengan wakil PIBG sekolah menengah dan rendah, guru besar serta pengetua di Labuan mengenai pembukaan sesi persekolahan pada 3 Okt nanti.

– BERNAMA


Pengarang :