Sukarelawan PPV, membantu penerima vaksin mendaftar dan mengisi borang persetujuan ketika program vaksin Selangor (Selvax) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Sebaguna MBSJ Puchong Indah, Subang Jaya pada 26 Julai 2021. FOTO HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

PPV Puchong Indah tutup, lebih 50,000 dos vaksin diguna

SHAH ALAM, 7 SEPT: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Puchong Indah tutup sepenuhnya kelmarin selepas beroperasi enam minggu mulai 26 Julai.

Ahli Dewan Negeri Kinrara berkata sepanjang tempoh itu sebanyak 51,834 dos vaksin diberikan kepada penerima melibatkan 25,190 dos pertama dan 26,644 dos kedua.

“Pembukaan ppv ini merupakan langkah besar menuju imuniti kelompok. Vaksin adalah kaedah terbaik bagi mencegah penularan Covid-19.

“Kepada sesiapa belum menerimanya, kunjungi mana-mana ppv yang masih dibuka untuk mendapatkan suntikan vaksin anda,” kata Ng Sze Han menerusi Facebook.

EXCO Kerajaan Negeri itu berkata pihaknya melakukan pelbagai usaha dalam menggalakkan penduduk Kinrara termasuk warga asing mengambil pelalian seperti membuat hebahan melalui sosial media serta bergerak rumah ke rumah.

Pada 25 Jun, EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud meminta Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) mewujudkan PPV berskala kecil di Puchong bagi mempercepatkan proses vaksinasi penduduk setempat.

Berikutan itu bermula 26 Julai ppv yang menggunakan Dewan Serbaguna MBSJ Puchong Indah itu dibuka dan mampu menampung antara 1,000 hingga 1,500 orang dalam satu-satu masa.


Pengarang :