Pegawai penguat kuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyita premis haram memproses sisa buangan elektrik dan elektronik di Klang. Foto Facebook Jabatan Alam Sekitar
AGENDANASIONAL

Premis haram proses 200 tan sisa buangan elektrik, elektronik diserbu

SHAH ALAM, 22 SEPT: Lebih 200 tan sisa buangan elektrik dan elektronik ditemukan dalam serbuan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor ke atas sebuah premis haram memproses sisa buangan tersebut di kawasan perindustrian Sungai Puloh, Klang, dekat sini, semalam.

Pengarah JAS Selangor Nor Aziah Jaafar berkata serbuan bersepadu yang dilakukan bersama Majlis Perbandaran Klang (MPK) itu merupakan kejayaan terbesar pihaknya pada tahun ini.

Katanya serbuan hasil risikan sejak Ahad lalu menemukan kira-kira 200 beg jumbo mengandungi pelbagai jenis buangan elektrik dan elektronik seperti papan litar bercetak dan kabel wayar kuprum, dikategorikan sebagai SW 110 dan SW 422, di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, diletakkan di dalam dan luar premis.

“Semasa serbuan, beberapa pekerja warga asing sedang meleraikan komponen elektronik secara manual dan sebuah mesin penghancur turut ditemui.

Pelbagai jenis buangan elektrik dan elektronik seperti papan litar bercetak dan kabel wayar kuprum ditemui ketika serbuan. Foto Facebook Jabatan Alam Sekitar

“Tindakan serta merta iaitu menahan kelengkapan operasi premis tersebut bagi menghentikan pencemaran telah diambil di bawah peruntukan Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan awal pihaknya turut mengesyaki sisa buangan tersebut diimport dari luar negara tanpa sebarang kelulusan.

Katanya sebarang pengimportan dan pengeksportan buangan terjadual ke dalam atau ke luar Malaysia hendaklah mendapat kelulusan bertulis daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling sebagaimana ditetapkan di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

“Kertas siasatan telah dibuka untuk tindakan pendakwaan di bawah Seksyen 34B, Seksyen 19 dan Seksyen 18(1) Akta yang sama,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :