EXCO Pembangunan Luar Bandar & Kebudayaan, Borhan Aman Shah berucap sempena majlis penyerahan bakul makanan kepada wakil penghulu di Pejabat Tanah & Tanah Kuala Selangor pada 6 September 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Program khatan perdana bantu ringan beban penduduk kampung tradisi

KUALA SELANGOR, 6 SEPT: Program berkhatan perdana bakal diadakan untuk penduduk kampung tradisi sempena musim cuti persekolahan hujung tahun ini, kata EXCO pembangunan luar bandar.

Borhan Aman Shah berkata program memfokuskan penyertaan anak yatim, golongan asnaf serta keluarga miskin bagi meringankan beban mereka dalam menjalani ibadah wajib itu.

“Kita sedar kos berkhatan sekarang tinggi antara RM150 hingga RM200 seorang. Jumlah menjadi lebih tinggi kerana perlu menjalani saringan Covid-19 sebelum berkhatan.

“Jadi kita rancang program ini untuk golongan susah dan memang perlukan bantuan. Mengikut perancangan 10 hingga 20 peserta daripada setiap kampung,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis penyerahan bakul makanan kepada wakil penghulu di Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Selangor.

Borhan berkata pihaknya sudah mengadakan perbincangan bersama persatuan klinik bagi memastikan urusan proses berjalan lancar.

“Untuk memudahkan peserta pergi berkhatan dan mendapat rawatan susulan, kita pilih klinik dalam daerah sahaja. Harap usaha ini dapat dilaksanakan,” katanya.


Pengarang :