Petugas kesihatan memberi suntikan pelalian kepada Surip Kaimon, 90, dalam program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak DUN Batu Tiga di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 13 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Program Selvax bergerak mudahkan warga emas, uzur terima suntikan

SHAH ALAM, 13 SEPT: Hasrat seorang warga emas berusia 90 tahun untuk menerima suntikan pelalian Covid-19 tercapai menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak peringkat DUN Batu Tiga.

Mohd Ali Maskalin, 64. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Surip Kaimon yang hadir dengan ditemani anaknya Mohd Ali, 64, merupakan penerima tertua dalam kalangan 300 peserta Selvax bergerak bertempat di Kompleks Padang Jawa hari ini.

Mohd Ali,64, berkata beliau pernah membatalkan janji temu vaksin pada Julai lalu kerana pusat pemberian vaksin (PPV) diterima agak jauh iaitu di Kapar selain mempertimbang keadaan ibunya yang uzur.

“Saya bersyukur dengan adanya Selvax bergerak kerana memudahkan urusan vaksin dan ibu juga tidak perlu bergerak, hanya perlu menunggu dalam kereta sahaja,” katanya kepada SelangorKini.

Bagi Muhd Iqmal Aiman Syazwan Hussien, 21, beliau membawa datuknya Ahmad Halimin Jubat berusia 69 tahun yang mengalami lumpuh pada kiri bahagian badan.

Muhd Iqmal Aiman Syazwan Hussien, 21. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kami sudah mendaftarkan datuk menerusi MySejahtera bulan lalu namun sehingga kini giliran belum tiba. Apabila dimaklumkan ada program Selvax bergerak saya terus mendaftarkan nama datuk.

“Malah apabila mengetahui akan divaksin hari ini datuk tidak bersarapan kerana gembira tetapi saya memujuknya supaya menjamah sedikit makanan,” katanya.

Warga Indonesia Sulaeha Solancar, 38, berkata dirinya lega apabila menerima vaksin setelah menunggu sejak beberapa bulan lalu

Sulaeha Solancar, 38. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Selama ini saya agak risau untuk keluar bekerja kerana belum divaksin, saya bersyukur kerana terpilih sebagai penerima,” katanya.

Buat permulaan, program Selvax bergerak berlangsung selama seminggu melibatkan 11 DUN.

Selvax bergerak bermula di DUN Bandar Baru Klang, diikuti Batu Tiga, Tanjung Sepat, Hulu Bernam, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali, Banting, Teratai, Dengkil dan Kampung Tunku.

Program tersebut bertujuan memastikan semua rakyat Selangor menerima pelalian dengan menyasarkan 1,000 individu disuntik sehari.


Pengarang :