ADN Bandar Baru Klang, Dato’ Teng Chang Khim (kanan) dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin (dua dari kanan) melihat proses pemberian suntikan pelalian menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Pasar Besar Klang pada 12 September 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Program vaksin bergerak DUN Bandar Baru Klang sedia 750 dos

KLANG, 12 SEPT: Sebanyak 750 dos suntikan pelalian disediakan untuk program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baru Klang di Kompleks Pasar Besar Meru hari ini.

Wakil rakyatnya Dato’ Teng Chang Khim berkata kaedah sama seperti Selvax Komuniti digunakan iaitu menggalakkan orang ramai membuat pendaftaran awal di pejabat pusat khidmat masyarakat bagi mengelak kesesakan.

“Vaksin yang dibeli mahal dan selalunya bila guna kaedah tanpa janji temu stok yang dibawa dalam jumlah banyak, jadi bagi elak pembaziran kita galakkan orang ramai daftar awal supaya dapat tahu berapa keperluan.

ADN Bandar Baru Klang, Dato’ Teng Chang Khim

“Program vaksin ini sudah berbulan dan hanya perlukan masa sehari untuk berdaftar bagi mendapatkan vaksin. Jangan lakukan semua pada saat akhir, jadi segera daftar di kawasan DUN walaupun terpaksa pergi di luar kawasan masing-masing,” katanya.

Chang Khim yang juga EXCO Kerajaan Negeri berkata keputusan membeli vaksin adalah strategi dalam mempercepatkan proses vaksinasi dan berjaya mengurangkan kadar jangkitan.

“Ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri mempunyai pandangan jauh dari peringkat awal apabila memutuskan untuk membeli vaksin. Ini strategi penting yang harus diikuti negeri lain yang masih dalam usaha meningkatkan kadar suntikan vaksin,” katanya.

Program Selvax bergerak yang bermula hari ini dianjurkan bagi memastikan tiada rakyat negeri ini yang tercicir dari menerima pelalian.

Selvax bergerak melibatkan 11 DUN bermula di Bandar Baru Klang dari 9 pagi hingga 5 petang. Program selama seminggu itu diteruskan ke DUN Batu Tiga, Tanjung Sepat, Hulu Bernam, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali, Banting, Teratai, Dengkil dan Kampung Tunku.

Pada 9 Jun, Amirudin mengumumkan peruntukan RM200 juta untuk menjayakan Selvax di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.


Pengarang :