AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Promosi hidangan enak daerah, Tourism Selangor dan MBI bantu pengusaha

SHAH ALAM, 26 SEPT: Tourism Selangor bekerjasama dengan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI mempromosi pelancongan makanan bagi membantu pengusaha makanan dan minuman (F&B) di negeri ini.

Pengurus komunikasi korporatnya Ahmad Nazri Tashriq Rahmat berkata promosi menerusi Platform Selangor (PLATS) menampilkan hidangan enak di setiap daerah untuk menarik pengunjung melawat dan berbelanja.

Menurutnya, segmen pelancongan makanan mempunyai potensi besar dan mampu memberi pulangan lumayan kerana mempunyai pengikut sendiri.

“Contohnya kita boleh promosi hidangan di Kuala Selangor seperti nasi ambeng, selain itu buat jejak makanan bermula dari sarapan hingga makan malam.

“Promosi ini kita lakukan dengan MBI melalui PLATS, akhir November depan Tourism Selangor bakal memperkenalkan pula direktori pelancongan makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara Media Selangor bertajuk ‘Apa khabar pelancongan Selangor’ pada Jumaat lalu.

Sementara itu, Ahmad Nazri berkata 10,000 Baucar Pelancongan Negeri Selangor bernilai RM100 boleh ditebus menerusi platform e-dagang sedang dibangunkan pihaknya.

Jelasnya, kaedah penebusan dan pakej ditawarkan akan diumumkan dalam satu sidang media pertengahan Oktober ini.


Pengarang :