Petugas kesihatan, memberi suntikan vaksin Covid – 19 kepada penerima ketika program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Sungai Ramal di pusat pemberian vaksin (PPV) Evo Mall, Bandar Baru Bangi pada 18 Ogos 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pulau Pinang mula beri vaksin individu 18 tahun ke atas tanpa janji temu

KEPALA BATAS, 8 SEPT: Pulau Pinang memulakan pemberian vaksin Covid-19 secara “walk-in” atau secara jumpa terus kepada penduduk warganegara yang berusia 18 tahun ke atas hari ini.

Tinjauan Bernama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Millenium dekat sini mendapati rata-rata penerima vaksin menunggu giliran masing-masing seawal 10 pagi.

Pek Jin Wei, 18, berkata dia sedia mendapatkan suntikan vaksin kerana mahu melanjutkan pelajarannya ke peringkat kolej.

“Saya dapat tawaran belajar di Kolej Two Studio Multimedia Academy (Bukit Mertajam), jadi saya harus divaksinasi bagi mengurangkan risiko (penularan Covid-19) sebelum melaporkan diri nanti,” katanya kepada pemberita hari ini.

Jin Wei yang ditemani bapanya Pek Kok Lim, 45, berkata, individu yang belum divaksin perlu mengambil peluang sebaiknya kerana ia adalah tanggungjawab sosial yang perlu ada dalam setiap rakyat negara ini.

Selain itu, Mohd Razman Ramli, 23, seorang pembantu kedai makan berkata inisiatif untuk divaksinasi adalah sebahagian daripada tanggungjawab memandangkan dirinya terlibat dalam sektor makanan dan minuman.

“Saya dapat tahu mengenai pemberian vaksin secara walk-in selepas ia ditularkan menerusi aplikasi WhatsApp. Sebab itu datang sini (PPV Dewan Millenium) untuk divaksin, sebab kerja kedai makan pun ada risikonya jika belum cucuk (vaksin),” katanya.

Razman yang bekerja di kedai makan di Kampung Datuk berkata semua rakyat Malaysia perlu divaksin bagi mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19 dan menjaga kesihatan semua.

Sebanyak 10 PPV di Pulau Pinang menawarkan pemberian vaksin Covid-19 secara jumpa terus termasuk PPV SPICE CC, PPV Tapak Pesta Sungai Nibong, PPV Kompleks Sukan Balik Pulau, PPV Pusat Konvensyen Perda, PPV Dewan Millenium, PPV SP Arena, PPV Tapak Ekspo Seberang Jaya, PPV Vangohh Eminent, PPV Dewan Sungai Bakap dan PPV Dewan Serbaguna Jawi.

Semalam, Ketua Menteri Chow Kon Yeow mengumumkan beberapa syarat ditetapkan bagi mereka yang mahu mendapat vaksin antaranya menunjukkan MyKad bagi tujuan pengesahan warganegara, mereka yang belum berdaftar atau belum menerima janji temu menerusi aplikasi MySejahtera.

-BERNAMA


Pengarang :