Sukarelawan menanam pokok sempena majlis penutupan program PRO 500 pokok di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sentosa, Klang pada 26 September 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Pulihara alam sekitar, DUN Sentosa tanam 555 pokok sakura

KLANG, 26 SEPT: Sebanyak 555 pokok sakura ditanam di Jalan Sungai Jati menuju Jalan Raja Nong dekat sini menerusi Program PRO500 Trees Sentosa.

Wakil rakyat DUN Sentosa berkata tanaman melibatkan jalan sepanjang lebih lima kilometer itu bagi memulihara ekosistem alam sekitar kawasan berkenaan.

“Kawasan ini tak banyak pokok. Kita akan cuba tanam sebanyak mungkin pokok dan dalam masa lima tahun kita akan nampak hasilnya.

“Pokok ini menceriakan kawasan kerana mengeluarkan bunga berwarna. Ada putih, merah. Sasaran awal hanya 500 pokok tetapi dapat tanam lebih,” kata Dr G Gunaraj pada majlis penutup program disempurna EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian hari ini.

Menurutnya, program berjalan sejak awal bulan ini akan diteruskan fasa dua pada bulan hadapan dengan sasaran 500 pokok ditanam.

“Banyak lagi kawasan lapang yang perlu dipenuhi pokok. Kita akan buat sebaik mungkin dalam usaha memelihara alam sekitar.

“Proses menyiram dan pembajaan selama tiga bulan diurus kontraktor dilantik. Majlis Perbandaran Klang, Jabatan Kerja Raya dan Squad Sentiasa akan ambil alih selepas tempoh berkenaan,” katanya.


Pengarang :