Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan Data Internet Selangor yang akan memanfaatkan seramai 70,000 rakyat negeri ini dalam tempoh 12 bulan. Foto ARKIB SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Ratusan ketua kampung, penghulu minat dapatkan data internet percuma

SHAH ALAM, 1 SEPT: Hampir 500 ketua kampung tradisi, setiausaha dan penghulu di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) memohon data internet percuma setakat ini.

EXCO pembangunan luar bandar dan kampung tradisi berkata inisiatif Data Internet Selangor menerima sambutan menggalakkan sejak permohonan dibuka pada 15 Julai.

“Kerajaan Negeri memperuntuk 1,000 kuota untuk 371 ketua kampung dan setiausaha serta 56 penghulu DUN manakala selebihnya terbuka kepada mana-mana individu memerlukan.

“Alhamdulillah, pemohon teruja dan tidak sabar untuk menikmati manfaat tersebut dan berharap program ini berjalan lancar,” kata Borhan Aman Shah ketika dihubungi.

Sementara itu, EXCO Kerajaan Prihatin V Ganabatirau memaklumkan seramai 30 Ketua Komuniti India (KKI) menghantar 270 nama sejak permohonan dibuka dalam tempoh sama.

“Sebanyak 500 kuota disediakan kepada 53 KKI dan setiap mereka perlu mengenal pasti lapan individu yang layak menerima data internet percuma ini.

“Kita berharap kuota disediakan dapat dipenuhi dan hebahan permohonan dibuat melalui kumpulan WhatsApp supaya mereka tidak terlepas peluang ini,” katanya.

Permohonan inisiatif sehingga 15 September boleh dibuat dengan menghubungi pejabat EXCO.

Pada 4 Ogos, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata seramai 70,000 rakyat Selangor akan menerima kad SIM dilengkapi internet percuma selama 12 bulan.

Beliau menjelaskan inisiatif itu menyasar pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor, peminjam Yayasan Selangor, mahasiswa Kolej Universiti Islam Selangor dan Universiti Selangor.

Turut menerima manfaat ialah pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor, peniaga dalam talian bawah e-Bazar Selangor, petani dan ibu tunggal.

 


Pengarang :