AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Rawatan klinikal, spiritual ikhtiar bantu asnaf balik ke pangkal jalan

SHAH ALAM, 15 SEPT: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menggunakan lima pendekatan khusus bagi merawat penghuni Rumah Pemulihan Riqab (RPR).

Kaedah itu meliputi rawatan spiritual Islam yang bertepatan hukum syarak, klinikal, secara sokongan, kaunseling dan pembangunan insan.

“Moga dengan kaedah rawatan ini menjadi salah satu ikhtiar kita bersama untuk membantu mereka kembali pulih seperti sediakala,” tulis agensi itu di Facebook.

Mengikut lampiran yang dikongsi dalam platform sama, rawatan klinikal digunakan bagi merawat ketagihan dan kejiwaan yang diselia pegawai perubatan bertauliah.

Rawatan secara sokongan pula melibatkan keluarga, rakan-rakan penghuni dan individu sekeliling untuk menaikkan semangat sepanjang proses pemulihan.

Sementara kaedah kaunseling melalui sesi bersama kaunselor untuk berkongsi masalah atau perasaan yang dipendam manakala pembangunan insan membabitkan latihan dan bimbingan kemahiran.

Mais memperuntuk sebanyak RM16 juta bagi membimbing 1,046 asnaf riqab negeri ini memulakan hidup baharu meliputi pemulihan, perlindungan, rawatan dan pencegahan.

Mereka dibelenggu masalah sosial dan akidah seperti penagihan dadah, sumbang mahram, persetubuhan haram dan terpesong agama.

Untuk maklumat lanjut layari http://www.mais.gov.my/al-riqab/ atau hubungi Bahagian Pemulihan Ar-Riqab di talian 03-33614080.


Pengarang :