Sukarelawan memeriksa aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) peserta program Vaksin Selangor (Selvax) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya pada 13 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Rebat RM20 ke pusat vaksin akan ditawar sekali lagi

SHAH ALAM, 15 SEPT: Penduduk di Selangor boleh membuat permohonan kali kedua untuk rebat RM20 bagi perjalanan ke pusat pemberian vaksin (PPV) menggunakan perkhidmatan e-panggilan Grab tidak lama lagi.

Ketua tanggungjawab sosial korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata inisiatif itu ditawarkan berikutan remaja usia 12 hingga 17 tahun akan menerima suntikan pelalian Covid-19.

“Ibu bapa yang telah mendapat kemudahan tersebut sebelum ini boleh sekali lagi memohon memandangkan program vaksinasi untuk remaja bakal bermula.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Ahmad Azri Zainal Nor

“Jadi, mereka boleh bawa anak masing-masing ke PPV dengan menaiki Grab melalui rebat ditawarkan Kerajaan Negeri,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan bantuan kepada vokalis kumpulan XPDC, Ali di Kampung Rantau Panjang di sini hari ini.

Beliau berkata inisiatif tersebut akan segera dihebahkan di laman sesawang www.platselangor.com dan media sosial sebaik mendapat kelulusan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Kita mengemukakan cadangan kepada beliau (Amirudin) pada awal bulan ini termasuk melanjutkan tempoh permohonan rebat sehingga November,” katanya.

Sebelum ini inisiatif dengan peruntukan RM1 juta yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 dikhususkan untuk penduduk negeri ini berusia 50 tahun ke atas.

Namun pada 6 Jun, Amirudin mengumumkan rebat perjalanan tersebut dibuka kepada semua rakyat Selangor tanpa mengira usia.

Permohonan rebat yang dibuka 20 Jun lalu sah bagi perjalanan ke PPV seluruh Selangor dan Kuala Lumpur mulai 1 Julai hingga 30 September.


Pengarang :