Kakitangan Air Selangor membuat ujian persampelan air sungai di makmal secara manual pada setiap 30 minit untuk mengesan pencemaran bau dan mengesahkan rekod bacaan TON di sungai. Foto Facebook Air Selangor
AGENDANASIONAL

Rekod bacaan 0 TON, rawatan loji dibuat pastikan agihan air selamat

SHAH ALAM, 4 SEPT: Proses rawatan air di loji Sungai Semenyih (LRA Semenyih) sedang dijalankan bagi memastikan air terawat yang bersih dan selamat diagihkan kepada pengguna.

Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) berkata langkah itu selepas Sungai Semenyih merekodkan bacaan tahap 0 TON sebanyak tiga kali berturut-turut pada jam 6 pagi tadi.

“Air Selangor kini dalam proses untuk memulakan proses rawatan LRA Sungai Semenyih agar air terawat yang bersih dan selamat diagihkan kepada pengguna,” kata syarikat itu dalam kenyataan pagi ini.

Syarikat pembekal air tersebut turut menggerakkan bantuan bekalan air kecemasan melalui 94 lori tangki kepada pengguna dan premis kritikal yang terlibat.

“Air Selangor amat memahami situasi pengguna yang memerlukan air bersih terutama semasa peningkatan kes Covid-19. Air Selangor sedang mengambil segala usaha bagi meminimumkan impak gangguan kepada pengguna yang terjejas,” katanya.

Sebanyak 463 kawasan di lima wilayah mengalami gangguan air tidak berjadual susulan pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Semenyih petang semalam.

Wilayah terjejas ialah Petaling membabitkan 172 kawasan, Hulu Langat (54), Sepang (194), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (20).

Senarai lengkap kawasan terjejas dimuatkan di Facebook Air Selangor dan laman sesawang
https://hentitugas.airselangor.com/ serta aplikasi Air Selangor.

Maklumat terkini dimaklumkan melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

 


Pengarang :