Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (tengah) bersama wakil Gabungan Petubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang Se’Malaysia (GTSM) Here Yanto Holik (kiri) dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Sabariah Salleh dalam majlis simbolik penyerahan fidyah di Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam pada 28 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Ribuan Orang Asli, pemandu teksi terjejas dapat fidyah RM1.9 juta

SHAH ALAM, 28 SEPT: Ribuan Orang Asli dan pemandu teksi negeri ini yang terkesan akibat Covid-19 menerima wang fidyah berjumlah RM1.9 juta daripada Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Pengerusi Mais berkata sebanyak RM1.78 juta diagihkan kepada 3,550 ahli Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang Se’Malaysia (GTSM).

Sementara baki berjumlah RM135,000 lagi disalurkan kepada 675 keluarga masyarakat Orang Asli beragama Islam, menurut Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

“Penerima sumbangan bagi ahli GTSM mendapat wang tunai RM500 setiap keluarga manakala masyarakat Orang Asli menerima RM200 berserta pek makanan asas bernilai RM100,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas majlis simbolik penyerahan sumbangan berkenaan di Bangunan Sultan Idris Shah di sini hari ini.

Abdul Aziz berharap sumbangan tersebut meringankan beban golongan berkenaan yang terjejas pendapatan sejak pandemik melanda negara tahun lalu.

“Kita faham dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, ramai orang susah. Jadi, kita bantu selagi mana boleh supaya mereka tidak menghadapi kesukaran yang keterlaluan,” katanya.

 


Pengarang :