Selangorkini
EXCO Kerajaan Negeri Ng Sze Han mendengar penerangan pegawai Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengenai projek pembangunan yang akan dijalankan di Ampang. Foto Facebook MPAJ
EXCO SELANGOR

RM7 juta diperuntuk jaya dua projek atasi sesak di Ampang

SHAH ALAM, 23 SEPT: Kerajaan Negeri membelanjakan hampir RM7 juta bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas sekitar Pandan Mewah, Ampang.

EXCO kerajaan tempatan berkata jumlah itu merangkumi kos pembinaan jambatan dua hala di Persimpangan Jalan Pandan Utama dan Pandan Mewah serta pelebaran jalan sekitar Hospital Ampang.

“Kerajaan Selangor dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memandang serius isu lalu lintas di kawasan ini. Kepadatan penduduk menyebabkan masalah berlaku dan perlu diurus segera.

“Projek jambatan menelan kos RM6.4 juta manakala pelebaran jalan di bahagian belakang dan sisi Hopital Ampang melibatkan belanja RM500,000. Dua projek ini bakal memanfaatkan kira-kira 10,000 penduduk,” kata Ng Sze Han.

Terdahulu beliau membuat lawatan di dua lokasi terbabit bersama Yang Dipertua MPAJ Mohd Fauzi Mohd Yatim.

Sze Han berkata kontraktor bertanggungjawab bagi projek itu sudah dilantik dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun lagi.

“Pelebaran jalan di Hospital Ampang itu untuk dijadikan 200 tapak letak kereta memandangkan tempat terhad. Dimaklumkan hospital menerima 600 pesakit dan pelawat setiap hari.

“Bagaimanapun hanya 591 tapak parkir yang ada dengan separuh darinya dikhaskan kepada petugas hospital. Ini tidak mencukupi,” katanya.


Pengarang :