Selangorkini
Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin kepada peserta program Selvax bergerak di Kompleks Muhibbah Tanjung Sepat, Kuala Langat pada 13 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sabar menanti, bekas pesakit Covid-19 lega dapat vaksin negeri

KUALA LANGAT, 14 SEPT: Seorang lelaki terpaksa menunggu hampir dua bulan untuk mendapat suntikan vaksin setelah membatalkan janji temunya sebelum ini akibat dijangkiti Covid-19.

Bagaimanapun, Muhammad Fazel Mahyudin, 33, mampu menarik nafas lega apabila dimaklumkan ibu mentuanya mengenai program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak semalam.

Tanpa menunggu lama, dia yang bimbang keselamatan diri dan anaknya terus hadir ke Kompleks Muhibbah Tanjung Sepat di sini dan mendapat suntikan pertama.

Muhammad Fazel Mahyudin

“Bimbang jika lama sangat tidak divaksin kerana saya ada tiga anak kecil berusia antara satu hingga enam tahun, lagi bimbang apabila saya pernah dijangkiti Covid-19,” katanya.

Seorang majikan R Sivam, 49, membawa lima pekerjanya yang juga warga asing menerima vaksin bagi memastikan mereka dilindungi daripada jangkitan virus.

“Tanggungjawab kita sebagai majikan untuk memastikan mereka selamat ketika bekerja atau keluar. Apabila pekerja selamat, perniagaan berjalan lancar. Harap program ini diteruskan lagi,” katanya.

Seorang lagi peserta Ilayaraja, 38, yang berasal dari India berharap kerajaan melonggarkan syarat untuk individu yang lengkap dos vaksin merentas negara.

“Lebih 15 tahun saya tinggal di Malaysia, dua atau tiga tahun sekali saya balik untuk bertemu keluarga tetapi kali ini lima tahun tidak pulang,” katanya.

Program Selvax bergerak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Sepat semalam menjadi tumpuan ramai apabila 550 dos vaksin habis disuntik dalam tempoh beberapa jam.

Inisiatif bermula kelmarin membabitkan 11 DUN sebagai permulaan dari jam 9 pagi hingga 5 petang selama seminggu.

Selain Bandar Baru Klang, Batu Tiga dan Tanjung Sepat, DUN lain yang terlibat ialah Hulu Bernam, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali, Banting, Teratai, Dengkil dan Kampung Tunku.


Pengarang :