Sebahagian ibu bapa membawa anak mendaftar bagi menerima suntikan pelalian Covid-19 ketika progam vaksinasi remaja dan murid berkeperluan khas daerah Kuala Selangor di Stadium tertutup Kuala Selangor pada 29 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Sasar 10,000 remaja Kuala Selangor divaksin

KUALA SELANGOR, 29 SEPT: Seramai 10,000 remaja berusia 16 dan 17 tahun disasar menerima suntikan vaksin di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Kuala Selangor.

Pengerusi pasukan petugas khas imunisasi Covid-19 Kuala Selangor berkata sejumlah 8,268 individu selesai disuntik sejak 23 September hingga semalam.

“Kita harap dengan jumlah penerima sebelum ini dan mereka yang hadir hari ini kita dapat mencapai 10,000 remaja divaksin di Kuala Selangor,” kata Mohd Faizal Abdul Raji di sini hari ini.

Beliau yang juga pegawai daerah Kuala Selangor berkata sebanyak 1,500 dos disediakan setiap hari dengan suntikan kedua mulai 14 Oktober.

Mengulas remaja yang tidak hadir meski sudah mendaftar, beliau berpandangan mereka mempunyai alasan peribadi termasuk berkemungkinan menolak vaksin.

“Baki yang tidak hadir ini ada sebab masing-masing mungkin ada ibu bapa memilih menghantar anak ke tempat vaksin lain dan mungkin juga ada yang menolak vaksin,” katanya.

Pada 20 September, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasar 80 peratus remaja lengkap dos vaksin sebelum sesi persekolahan dibuka tahun depan.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata KKM juga menyasar 60 peratus daripada remaja berusia 12 hingga 17 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang November.


Pengarang :