Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan bendera Pulau Pinang pada lori yang mengikuti konvoi sebagai simbolik pelepasan Jelajah Peduli Nadi Rakyat sambil diperhatikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Ibu Pejabat Parti KEADILAN, Petaling Jaya pada 17 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Segera suntik RM45 bilion bantu golongan pendapatan rendah, sederhana

PETALING JAYA, 17 SEPT: Kerajaan pusat digesa mempercepat suntikan RM45 bilion bagi mengurangkan beban sara hidup golongan berpendapatan rendah dan sederhana sepanjang pandemik Covid-19.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pihaknya sudah mencadangkan pemberian bantuan kewangan itu dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dimeterai Isnin lalu.

“Wang ini mesti disekali dengan membatalkan faedah moratorium pinjaman bagi mengelakkan wang bantuan diberikan dibayar faedah pula kepada bank,” katanya berucap pada majlis pelepasan konvoi program Jelajah Peduli Nadi Rakyat di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di sini hari ini.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Presiden KEADILAN itu menasihatkan wakil rakyat dan ahli parti itu supaya terus memberikan bakti kepada masyarakat terutama dalam berdepan penularan Covid-19.

“Perkara ini sudah saya tegaskan berkali-kali kepada semua ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri, selain sumbangan diterima kerajaan, setiap daripada mereka mesti dan wajib keluarkan dana peribadi untuk bantu rakyat yang susah.

“Bukan saja berupaya guna duit kerajaan atau minta derma (untuk bantu rakyat), tetapi mereka harus tunjuk tauladan baik dengan guna duit poket mereka sendiri,” katanya.


Pengarang :