Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (kiri) menyerahkan cek cura bernilai RM1.78 juta kepada wakil Gabungan Petubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang Se’Malaysia (GTSM) di Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam pada 28 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Sekadar cukup makan, pandemik jejas rezeki ribuan pemandu teksi

SHAH ALAM, 28 SEPT: Pandemik yang melanda negara lebih setahun lalu selain perintah kawalan ketat memberi kesan mendalam terhadap pendapatan pemandu teksi negeri ini.

Gaji yang diperolehi antara RM50 hingga RM60 sehari sekadar cukup makan untuk menanggung keperluan harian keluarga, manakala bayaran sewa rumah terpaksa ditangguhkan.

Situasi itu dialami ribuan ahli Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang Se’Malaysia (GTSM) Selangor sejak tahun lalu.

“Kami melalui tempoh yang agak mencabar sepanjang tempoh dua tahun ini. Pendapatan harian memang terjejas teruk, jauh sekali untuk mencapai sasaran diinginkan” kata M.D Here Yanto Holik.

Beliau ditemui selepas menerima sumbangan RM1.78 juta daripada Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof di Bangunan Sultan Idris Shah di sini hari ini.

Here Yanto berkata bantuan tunai RM500 akan diagihkan ke akaun 3,550 ahli gabungan berkenaan mulai esok berdasarkan data diperoleh Agensi Pengangkutan Awam Darat.

Menurutnya, sumbangan itu meringkankan beban pemandu teksi menguruskan anak-anak yang masih bersekolah serta memerlukan data internet untuk pembelajaran secara maya.

“Wang ini juga boleh digunakan untuk keperluan perubatan, justeru saya mewakili mereka amat terharu dan berterima kasih atas keprihatinan Mais. Kita akan pastikan tiada siapa tercicir” katanya.


Pengarang :