Selangorkini
Petugas kesihatan memberi suntikan kepada penerima vaksin ketika Program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Dewan Serbaguna Taman Kinrara, Puchong pada 27 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Selalu dengar keburukan vaksin, anak lega ibu akhirnya setuju disuntik

PUCHONG, 28 SEPT: Seorang anak berasa lega apabila ibunya bersetuju menerima vaksin di program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak DUN Kinrara semalam.

M Suraish, 38, berkata ibunya M Achutha Devi, 58, risau kerana sering mendengar berita berkaitan kesan vaksin yang diceritakan rakan-rakannya.

M Suraish

“Saya memujuk dan menerangkan kepada ibu pentingnya mengambil suntikan dalam mencegah jangkitan Covid-19.

“Akhirnya ibu menerima penjelasan yang diberikan dan bertambah yakin selepas dinasihati doktor sebelum disuntik,” katanya.

Manakala Nurul Adani Jamaluddin, 18, berkata beliau menunggu giliran suntikan menerusi MySejahtera sejak beberapa bulan tetapi tidak mendapat janji temu.

Nurul Adani Jamaluddin

“Saya perlu mengambil suntikan kerana pulang ke kampus pada November untuk melanjutkan pelajaran.

“Perasaan sangat bersyukur apabila pendaftaran menerusi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) amat mudah dan terus dapat vaksin,” katanya.

Bong Ming Zi

Bagi Bong Ming Zi, 22, mengambil vaksin menjadi tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dalam mengekang penularan wabak.

“Ibu saudara memaklumkan tentang program ini dan saya terus buat keputusan untuk hadir walaupun menaiki Grab,” katanya.

Sebanyak 350 dos pelalian Covid-19 disediakan pada program Selvax bergerak DUN Kinrara yang berlangsung di Dewan Serbaguna Taman Kinrara 1 semalam.


Pengarang :