Ir. Izham Hashim ketika menyerahkan bot ketika gimik Penyerahan Bantuan Nelayan di jeti pangkalan nelayan Batu 23, Sabak Bernam pada 10 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor belanja hampir RM1 juta, galak nelayan turun ke laut

SABAK BERNAM, 10 SEPT: Kerajaan Negeri membelanjakan sejumlah RM999,950 untuk membantu nelayan di Selangor meneruskan kelangsungan hidup dalam tempoh pandemik sejak awal tahun ini.

EXCO Pemodenan Pertanian Ir Izham Hashim berkata peruntukan terangkum dalam dua Pakej Kita Selangor meliputi pemberian baucar petrol berjumlah RM700,000 manakala bakinya ialah set peralatan nelayan.

“Peruntukan ini sebagai bukti kesungguhan kita untuk membantu nelayan supaya mereka terus berusaha walaupun berdepan kekangan akibat Covid-19.

“Kita berharap insentif diberi akan menggalakkan mereka untuk turun ke laut sekali gus membantu dari segi penyediaan bekalan makanan,” katanya pada program penyerahan bantuan nelayan di Jeti Pengkalan Nelayan Batu 23, Sungai Nibong di sini hari ini.

Ir. Izham Hashim meyampaikan cek cura bernilai RM 299,950 kepada Pengarah Veterinar Selangor, Dr. Hassuzana Khalil ketika program Penyerahan Bantuan Nelayan di jeti pangkalan nelayan Batu 23, Sabak Bernam pada 10 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pada program itu, seramai 101 nelayan daripada lima persatuan nelayan kawasan (PNK) memperoleh bantuan input merangkumi sistem kedudukan sejagat (GPS), kotak berinsulasi, jaket keselamatan, kit pertolongan kecemasan, lampu kelip-kelip dan beg kalis air.

Selain peralatan perikanan, tiga nelayan dari PNK Sungai Besar, Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang diberi sampan fiber manakala tiga nelayan dari PNK Kuala Selangor, Kuala Langat serta Sepang menerima enjin sangkut.

Sementara itu, Ir Izham berkata pihaknya perlu lebih berhati-hati meneliti permohonan nelayan yang mahu mendapatkan sampan dan enjin bagi mengelak timbul isu salah guna bantuan input terbabit.

Jelas beliau, beberapa syarat harus diambil kira bagi melayakkan seseorang nelayan menikmati kemudahan tersebut antaranya lesen dan tempoh perkhidmatan sebagai nelayan.

“Kita menerima banyak permohonan untuk mendapatkan sampan dan enjin sangkut, namun pemilihan perlu dibuat secara berhati-hati kerana dianggap sebagai permohonan istimewa.

“Selain kosnya tinggi, pengurusan alat ini juga bukan sesuatu yang mudah. Insya-Allah, tahun depan kita akan teliti permohonan mereka dan yakin pemilihan dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya lagi.


Pengarang :