Atlet lontar peluru paralimpik negara Muhammad Ziyad Zokefli beraksi pada acara lontar peluru F20 (kategori masalah pembelajaran) pada Kejohanan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Stadium Olimpik. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Selangor belum putuskan ganjaran kepada Ziyad

SHAH ALAM, 7 SEPT: Ganjaran kepada atlet para Selangor Mohd Ziyad Zolkefli yang mewakili negara di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 masih belum diputuskan.

EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman berkata pihaknya akan bertemu jaguh lontar peluru negara itu terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan perkara itu.

“Saya akan jumpa Ziyad bersama atlet Selangor (ke Olimpik Tokyo) yang lain dalam masa terdekat, sekarang Ziyad menjalani kuarantin 14 hari.

“Sama ada Kerajaan Selangor beri ganjaran atau tidak, kita akan dimaklum pada sesi pertemuan itu nanti,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020, penyertaan Ziyad dan pingat emas dimenanginya bagi acara lontar peluru lelaki F20 dibatalkan serta ditarik balik susulan bantahan daripada kem Ukraine.

Ia sekali gus menyebabkan catatan rekod dunia 17.94 meter (m) dilakukan Ziyad tidak diiktiraf.

Ziyad didakwa lewat melapor diri ke bilik menunggu dan kemenangan menjadi milik Maksym Koval dari Ukraine.

Pada 2017, Kerajaan Selangor menghadiahkan Ziyad rumah berkembar setingkat di Taman Selayang Mutiara, Selayang berharga RM360,000.

Ganjaran itu sebagai penghargaan atas kejayaannya memenangi pingat emas di Sukan Paralimpik Rio de Janeiro, Brazil pada 2016 dalam acara lontar peluru F20.

Selain Mohd Ziyad, seorang lagi atlet kelahiran Selangor yang turut bertanding dalam kejohanan berprestij itu adalah Muhammad Hafiz Jamali dalam acara berbasikal.

 


Pengarang :