EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han (tiga dari kiri) menyerahkan borang permohonan lesen penjaja kepada salah seorang peniaga dalam Program Pemberian Permit Penjaja Sementara Pasca Covid-19 di Pusat Perniagaan Taman Puncak Jalil, Subang Jaya pada 7 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMAPILIHAN MINGGUAN

Selangor beri lebih 8,300 lesen sementara bantu penjaja ketika pandemik

SUBANG JAYA, 7 SEPT: Lebih 8,300 lesen sementara dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh Selangor ketika pandemik Covid-19 melanda sejak tahun lalu.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata jumlah itu merupakan pemberian dalam tempoh setahun bermula Ogos tahun lalu sehingga Ogos tahun ini.

“Kerajaan Negeri sangat prihatin dengan situasi ekonomi rakyat dalam mengharungi cabaran Covid-19 di mana kadar pengangguran dalam negara telah meningkat kepada 750,000 orang.

“Daripada jumlah itu, 4.4 peratus (33,000 orang) direkodkan di Selangor. Bagi meringankan beban, Kerajaan Selangor melalui PBT telah mengeluarkan lebih 8,300 lesen sementara,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian selepas memberikan lesen sementara kepada 120 peniaga di Taman Puncak Jalil di sini.

Sze Zan berkata inisiatif itu membolehkan penerima beroperasi secara sah hingga hujung tahun ini.

“Antara syarat yang akan melayakkan mereka mendapat lesen ini perlulah mendapatkan vaksin, warganegara Malaysia, selain kita juga mahu tapak perniagaan itu di kawasan selamat dan bersih,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri juga membantu mengecualikan pembayaran untuk lesen penjaja di mana hampir 71,800 penjaja menikmati kemudahan itu.

“Sejak 2016 Kerajaan Negeri melakukannya dengan memberikan implikasi kewangan lebih RM54 juta kepada Kerajaan Negeri sepanjang tempoh lima tahun tersebut,” katanya.

Bermula Ogos tahun lalu, bermula dengan Majlis Bandaraya Shah Alam, PBT memberikan permit sementara kepada peniaga tidak berlesen khususnya golongan berpendatan rendah (B40) yang terjejas akibat Covid-19.

PBT perlu memastikan tapak niaga bersesuaian, menjamin keselamatan serta tidak mendatangkan kacau ganggu.


Pengarang :