Selangor Fruit Valley yang dibuka sejak 15 September sedia menerima lebih ramai pengunjung. Foto Facebook YB Ir Izham Hashim
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor Fruit Valley tawar tiket percuma sempena pembukaan Rabu ini (VIDEO)

SHAH ALAM, 13 SEPT: Selangor Fruit Valley (SFV) menawarkan satu tiket percuma bagi setiap tiga pembelian pas masuk sempena pembukaan semula secara rasmi Rabu ini.

Pengurus pemasarannya berkata harga tiket yang ditawarkan adalah RM15 bagi dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak dan warga emas, manakala bagi warga asing tiket dewasa berharga RM30 dan kanak-kanak RM25.

“Melalui pembelian ini pengunjung akan menaiki trem mengelilingi kawasan seluas hampir 1,000 hektar yang bukan sahaja kawasan tanaman buah-buahan malah terdapat juga taman rusa dan arnab.

“Selain itu kita juga mempunyai rumah kampung yang kawasan sekitarnya terdapat reban ayam dan ini adalah peluang terbaik untuk anak-anak merasai suasana di kampung,” kata Nor Rashidah Mohamed Raihan ketika dihubungi.

Katanya, SFV juga akan memberikan potongan buah keluaran ladang itu secara percuma kepada pengunjung selain turut menawarkan harga menarik dan kupon pembelian buah-buahan dan sayur-sayuran.

“Walaupun pembukaan secara rasmi adalah Rabu ini, kita menerima pengunjung seawal Selasa ini,” katanya yang turut memesan hanya individu yang lengkap dua dos pelalian serta anak-anak mereka sahaja dibenarkan mengunjungi SFV.

Orang awam yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi talian 016-6880792 serta emel ke [email protected] atau [email protected].

SFV melibatkan kawasan seluas hampir 1,000 hektar mempunyai 20 jenis buah-buahan antaranya belimbing, durian, mangga, jambu batu, nangka, pulasan dan anggur.

Tambah menarik terdapat lebih 3,000 sarang kelulut di ladang itu menjadikan SFV sebagai pengeluar madu kelulut terbesar di Semenanjung Malaysia.


Pengarang :