EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman bercakap kepada media selepas merasmikan The Tomanz Tangkap dan Lepas di Unisel kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 18 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKIN
AGENDANASIONAL

Selangor Job Fair bermula hujung September, disertai 50 syarikat

BESTARI JAYA, 18 SEPT: Program Selangor Job Fair berskala kecil dijangka bermula hujung bulan ini dengan tumpuan di lima daerah, kata EXCO pembangunan generasi muda.

Mohd Khairuddin Othman berkata program secara hibrid di Petaling, Sabak Bernam, Hulu Selangor, Gombak dan Sepang bakal disertai 50 syarikat yang menawarkan pekerjaan dalam pelbagai sektor.

“Sebenarnya kita sudah ada perancangan untuk turun (ke daerah) tetapi tersekat kerana Perintah Kawalan Pergerakan. Insya-Allah bulan ini kita akan segerakan dalam skala kecil mengikut syarat ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.

“Apapun, dalam tahun ini kita akan selesaikan sekurang-kurangnya lima siri jelajah,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Tasik The Tomanz Tangkap dan Lepas di Universiti Selangor (Unisel) kampus Bestari Jaya di sini hari ini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri tekad memastikan kadar pengangguran di Selangor turun bawah empat peratus berbanding ketika ini yang mencatat 4.5 peratus ekoran pandemik.

“Kita tidak akan berdiam diri dan terus berusaha membantu bagi mencapai sasaran tersebut,” katanya.

23 Ogos lalu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah supaya Kerajaan Negeri memandang serius isu kehilangan pekerjaan.

Untuk rekod, penganjuran Selangor Job Fair dua tahun lalu menerima penyertaan 200 syarikat dengan menawarkan 11,000 peluang pekerjaan termasuk 20 kepada orang kelainan upaya (OKU).

 


Pengarang :