Renjer Jabatan Perhutanan Negeri menunjukkan kawasan sempadan hutan simpan ketika tinjauan ke Hutan Simpan Kuala Langat Utara di Kuala Langat pada 26 Febuari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor kekalkan 46 peratus Hutan Simpan Kuala Langat Utara

SHAH ALAM, 1 SEPT: Selangor masih mengekalkan kira-kira 46 peratus kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) sebagai hutan simpan kekal (HSK).

Pengarah Perhutanan Selangor berkata hanya 1,326.33 ekar diluluskan untuk dinyahwarta oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang disahkan pada 19 Mei.

Dato’ Ahmad Fadzil Abdul Majid menjelaskan seluas 1,436 ekar turut diluluskan sebagai kawasan gantian melibatkan Mukim Sungai Panjang, Sabak Bernam (762.29 ekar).

Sementara Ampang Pechah, Mukim Buloh Telor, Hulu Selangor sebanyak 516.40 ekar manakala Bukit Broga, Hulu Langat seluas 157.86 ekar.

“Kerajaan Selangor masih mengekalkan kira-kira 46 peratus daripada HSKLU, Mukim Tanjung Dua Belas, Kuala Langat sebagai hutan simpan kekal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 5 Februari tahun lalu, Kerajaan Selangor mengumumkan untuk membangunkan HSKLU kepada pembangunan bercampur seperti perumahan.

Satu sesi pendengaran awam dianjurkan pada 27 September tahun sama bagi mendapatkan pandangan individu, badan bukan kerajaan dan agensi kerajaan serta swasta.

HSKLU ingin dibangunkan susulan kemajuan pesat di kawasan sekitarnya, termasuk projek perumahan Saujana Putra, Lebuhraya Elite, ladang Boh Bukit Cheeding dan Gamuda Cove.

Proses penukaran status tanah dibuat mengikut Seksyen 11 (b) Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1985 yang membenarkan negeri mengeluarkan kawasan hutan simpan jika mendapati ia ada kegunaan
ekonomi yang lebih tinggi.

Kerajaan Selangor bagaimanapun perlu menggantikan hutan simpan kekal di tanah lain yang lebih kurang sama saiznya seperti diperuntuk dalam Seksyen 12 Akta Perhutanan Negara 1984.


Pengarang :