Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga, kiri) bergambar bersama Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad, Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik Najwan Halimi dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Dato’ Zamani Ahmad Mansor selepas meninjau proses suntikan pelalian program Selvax bergerak di Blok 1 Flat PKNS Seksyen 7,Shah Alam pada 19 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Selangor, KKM bincang keperluan tambahan lindungi rakyat daripada Covid-19

SHAH ALAM, 19 SEPT: Selangor akan berbincang dengan kerajaan persekutuan untuk mencari keperluan tambahan bagi memastikan rakyat terus dilindungi daripada Covid-19.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perbincangan melibatkan EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) penting supaya rakyat mampu meneruskan kelangsungan hidup.

“Selepas tamat pusingan pertama program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak, saya kena bincang dengan kementerian dan EXCO kesihatan apa lagi rancangan lain boleh dilakukan bersama untuk pastikan semua orang selamat.

“Ia bagi membolehkan semua orang dapat meneruskan kehidupan dan tugas termasuk membuka peluang pekerjaan sebagaimana yang diumum dalam fasa dua (Pelan Pemulihan Negara),” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau program Selvax bergerak di Blok 1, Pangsapuri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Seksyen 7 di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad, Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik Najwan Halimi dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Dato’ Zamani Ahmad Mansor.

Sementara itu, Amirudin berkata program Selvax bergerak akan ditambah baik dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian.

“Kita kena tengok kelengkapan, kalau guna bas boleh suntik lebih 700 orang tetapi trak sekitar 300 hingga 350 orang. Mungkin kita perlukan kenderaan lain,” katanya.


Pengarang :