Rumah Selangorku di Taman Alam Suria, Jeram, Kuala Selangor pada 10 September 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor lulus 341 projek rumah mampu milik setakat 31 Ogos

KUALA SELANGOR, 10 SEPT: Kerajaan Negeri meluluskan 341 projek pembangunan rumah mampu milik membabitkan 204,871 unit setakat 31 Ogos, kata EXCO perumahan dan kesejahteraan bandar.

Rodziah Ismail berkata berdasarkan jumlah itu 23,379 unit membabitkan 68 projek sudah siap dibina dan diserahkan kunci kepada pemiliknya.

“Manakala sebanyak 19,495 unit iaitu 57 projek dalam pembinaan dan boleh diduduki bermula akhir tahun ini sehingga 2023.

“Melalui pelaksanaan Dasar Rumah Selangorku ini, Kerajaan Negeri berjaya membantu sebanyak 42,874 pembeli yang khususnya merupakan pembeli rumah pertama dan dalam pasangan muda untuk bertukar daripada menyewa kepada memiliki kediaman mereka sendiri,” katanya.

EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail mendengar penerangan dari Pengurus Besar Kanan IJM Land Berhad, Dato’ Hoo Kim See berkaitan rumah contoh sempena penyerahan kunci Rumah Selangorku di Taman Alam Suria, Jeram, Kuala Selangor pada 10 September 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau ditemui selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Selangorku Taman Alam Suria, Kuala Selangor hari ini.

Sementara itu, Rodziah menyarankan pemaju yang tertangguh pembinaan segera mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk lanjutan waktu pembinaan.

“Contohnya tempoh projek perlu disiapkan 36 bulan tetapi tertangguh disebabkan PKP, mereka boleh berbincang dengan PBT untuk operasi waktu pembinaan kerana ia bergantung kepada PBT,” katanya.

Dasar Rumah Selangorku menumpu penambahbaikan aspek pemilikan, perancangan dan pelaksanaan supaya memberi manfaat kepada pemaju, pelaksana dasar dan pemilik rumah.

Rumah Selangorku dijual pada harga antara RM42,000 sehingga RM250,000 dan menumpukan golongan berpendapatan rendah.


Pengarang :