Anggota polis melakukan pemeriksaan dalam sekatan jalan raya bagi memantau pergerakan orang ramai di Plaza Tol Gombak pada 10 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor masuk fasa dua PPN, boleh rentas daerah dan melancong dalam negeri

SHAH ALAM, 8 SEPT: Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa Jumaat ini dengan beberapa kelonggaran, termasuk rentas daerah kepada mereka yang mendapat suntikan dua dos vaksin.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 hari ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan.

Kelonggaran yang diberikan itu sama dengan negeri-negeri yang telah berada dalam fasa dua sebelum ini seperti yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) antaranya:

  • Pasangan suami isteri jarak jauh yang lengkap divaksin dibenarkan untuk merentas negeri
  • Ibu bapa yang telah mendapat dua dos vaksin dibenarkan merentas negeri untuk berjumpa anak mereka yang berusia di bawah 18 tahun
  • Makan dibenarkan di premis makanan untuk pelanggan yang lengkap menerima dua dos vaksin
  • Aktiviti pelancongan hanya dibenarkan di dalam negeri yang sama melibatkan penginapan di hotel dan homestay bagi individu yang telah lengkap dua dos

Sementara itu, negeri yang berada dalam fasa dua dan tiga turut menikmati kelonggaran tambahan bagi aktiviti kedai gunting, kedai dandanan rambut dan salon kecantikan.

Keterangan tatacara operasi piawai (SOP) terkini akan dikemas kini oleh MKN dan kementerian berkaitan. Laman web MKN seperti berikut http://www.mkn.gov.my


Pengarang :