Petugas kesihatan memberi suntikan pelalian kepada peserta pada program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Pasar Besar Klang pada 12 September 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Selangor sedia 50,000 dos untuk program vaksin bergerak

KLANG, 12 SEPT: Kerajaan Negeri memperuntuk sebanyak 50,000 dos pelalian untuk program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata suntikan pelalian program vaksin bergerak itu menggunakan bekalan dos Selvax Komuniti yang diberikan secara percuma kepada penduduk Selangor.

“Bagi program ini dua kenderaan digunakan iaitu bas bergerak iaitu 500 dos sehari dan klinik van bergerak yang dipinjamkan oleh Hospital Avisena yang mampu memberi suntikan 250 dos.

EXCO Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita & Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud (kanan) bergambar di hadapan bas sempena program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Pasar Besar Klang pada 12 September 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari juga menyatakan kesediaan untuk mengeluarkan lagi bekalan vaksin sekiranya peruntukan 50,000 dos ini habis digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Selvax bergerak Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baru Klang di Kompleks Pasar Besar Meru, hari ini.

Dr Siti Mariah turut menggalakkan orang ramai untuk berdaftar dan memberi nama di pejabat wakil rakyat masing-masing berbanding terus hadir ke lokasi Selvax bergerak.

“Sekiranya berdaftar di pejabat wakil rakyat mereka menerima baucar atau nombor dan slot disediakan berbanding hadir terus. Jika DUN yang mereka ingin daftar penuh boleh juga memberi nama di DUN berhampiran,” katanya.

Program Selvax bergerak yang bermula hari ini diadakan bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan vaksin Covid-19.

Untuk permulaan Selvax bergerak melibatkan 11 DUN bermula di DUN Bandar Baru Klang dari 9 pagi hingga 5 petang. Program selama seminggu itu juga membabitkan DUN Batu Tiga, Tanjung Sepat, Hulu Bernam, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali, Banting, Teratai, Dengkil dan Kampung Tunku.

 


Pengarang :