Peserta bergambar bersama plakad ‘Saya Telah Divaksin’ selepas menerima suntikan pelalian bawah program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Pasar Besar Klang pada 12 September 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selvax bergerak hanya di lokaliti tertentu, tidak suntik ke rumah

KLANG, 13 SEPT: Program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak tidak menyediakan khidmat suntikan dari rumah ke rumah, sebaliknya dibuat di lokaliti tertentu.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata individu yang menghadapi masalah kesihatan atau kekangan ke pusat vaksin perlu merujuk pemimpin setempat.

“Nama mereka akan diberikan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan pejabat kesihatan daerah untuk diaturkan badan bukan kerajaan berkaitan bagi pemberian vaksin rumah ke rumah,” katanya.

Dr Siti Mariah Mahmud

Beliau ditemui pada pada program Selvax bergerak Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baru Klang di Kompleks Pasar Besar Meru semalam.

Sementara itu, Siti Mariah menegaskan tiada bayaran dikenakan untuk menerima vaksin tersebut termasuk dalam kalangan warga asing.

“Kita hendak beritahu tiada bayaran dikenakan kepada warga asing dan sekiranya ada untuk pengurusan mereka perlu maklumkan,” katanya lagi.

Program Selvax bergerak bermula semalam dianjurkan bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian untuk mencapai imuniti kelompok.

Inisiatif itu membabitkan 11 DUN sebagai permulaan dari jam 9 pagi hingga 5 petang selama seminggu.

Selain Bandar Baru Klang, DUN lain yang terlibat ialah Batu Tiga, Tanjung Sepat, Hulu Bernam, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali, Banting, Teratai, Dengkil dan Kampung Tunku.


Pengarang :