Petugas kesihatan memberi suntikan pelalian kepada peserta program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Dataran Santai Ampang Point, Ampang pada 16 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selvax bergerak ubah lokasi ke Pasar Awam Dengkil esok

SHAH ALAM, 23 SEPT: Program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Dengkil esok yang sepatutnya diadakan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) diubah lokasi ke Pasar Awam Dengkil.

Perkara itu dimaklumkan EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud menerusi notis perubahan yang dikongsikan di Facebook hari ini.

Beliau berkata orang ramai khususnya penduduk sekitar Dengkil yang berminat perlu membuat pendaftaran awal melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan memasukkan kod baucar DGL24SEP.

“Syarat kelayakan ialah warganegara dan bukan warganegara berusia 18 tahun ke atas serta masih belum menerima dos pertama vaksin,” katanya.

Selvax bergerak turut akan diadakan di Dewan Serbaguna Kampung Chuang Rasa, Kuala Kubu Bharu esok.

Program itu dijalankan sejak 12 September bagi memastikan tiada penduduk di negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Berlangsung dari jam 9 pagi hingga 5 petang, program terbabit diadakan di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) secara berperingkat.

Antara DUN terlibat ialah Bandar Baru Klang, Batu Tiga, Tanjung Sepat, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali, Banting, Teratai, Dengkil, Subang Jaya dan Kampung Tunku.

Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumumkan pada 9 Jun memperuntuk sebanyak RM200 juta untuk menjayakan Selvax Komuniti dan Selvax Industri yang memanfaatkan jutaan penduduk negeri ini.


Pengarang :