Borhan Aman Shah bercakap kepada media selepas meninjau program Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak bagi penduduk Kampung Orang Asli Tanjong Sepat, Kuala Langat pada 24 Julai 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Seminar anjuran Galeri Shah Alam bantu penggiat seni semarak industri

SHAH ALAM, 26 SEPT: Pemikiran dan kajian yang dibentangkan 21 peserta Seminar Antarabangsa Falsafah Seni 2021 (SAFAS21) diharap dapat menyemarakkan industri seni negara.

EXCO kebudayaan berkata penganjuran julung kali Galeri Shah Alam itu yang memfokuskan seni rupa, gunaan, binaan, persembahan, grafik dan multimedia serta filem dan animasi akan membantu pengkarya menghasilkan produk berkualiti.

“Cakupan ini membantu para ilmuwan dan pengkarya termasuk para peserta menyelami dan memahami falsafah serta pemikiran seni dengan lebih meluas.

“Siapa tahu menerusi seminar, kita dapat menggali dan menyusuri tradisi, kebudayaan dan tamadun rantau Nusantara sendiri untuk dijadikan bekal produksi, konsumsi dan apresiasi seni kita,” kata Borhan Aman Shah.

Beliau mewakili Dato’ Menteri Besar merasmikan seminar terbabit yang berlangsung secara maya semalam.

Jelas Borhan seminar itu dianggap penting kerana pengkarya dan penggiat seni boleh menimba kefahaman serta kemahiran lebih daripada satu-satu bidang.

“Dengan matlamat mewujudkan satu wahana untuk golongan ini bertukar fikiran dan membahaskan idea, saya yakin program mempunyai kepentingan besar dalam membantu merancakkan perkembangan seni tanah air,” katanya.

Bertemakan Kesenian dan Nusantara, program dengan kerjasama Persatuan Pendidikan Falsafah dan Pemikiran serta Universiti Teknologi Mara selama dua hari turut disertai pengkarya dari Indonesia dan Taiwan.


Pengarang :