Pemandangan dari udara Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) yang dinyahwarta untuk pembangunan tetapi diganti dengan hutan gambut dan bukit yang sama nilai biodiversiti. Foto oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor
AGENDANASIONAL

Siasat lebih setahun sebelum putus nyahwarta Hutan Simpan Kuala Langat Utara

SHAH ALAM, 1 SEPT: Jawatankuasa Penyiasatan Awam meneliti lebih setahun berhubung cadangan menyahwarta sebahagian Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).

Pengarah Jabatan Perhutanan Selangor berkata semua bantahan yang diterima turut dikumpulkan dan diangkat kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk pertimbangan lanjut.

Dato’ Ahmad Fadzil Abdul Majid menjelaskan cadangan yang diterima daripada Pejabat Tanah Daerah Kuala Langat pada 14 November 2019 membabitkan kawasan seluas 991.90 hektar.

“Berdasarkan Seksyen 11, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985 (Pindaan 2011), pihak berkuasa negeri boleh menyahwarta kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) bagi kegunaan ekonomi lebih tinggi daripada kegunaan masa kini dengan syarat melalui penyiasatan awam.

“Berdasarkan Seksyen 12 enakmen yang sama keperluan untuk menggantikan kawasan HSK yang dinyahwarta dengan kawasan yang hampir sama atau lebih baik daripada segi ekologi dan keluasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 5 Februari tahun lalu, Kerajaan Selangor mengumumkan untuk membangunkan HSKLU kepada pembangunan bercampur seperti perumahan.

Satu sesi pendengaran awam dianjurkan pada 27 September tahun sama bagi mendapatkan pandangan individu, badan bukan kerajaan dan agensi kerajaan serta swasta.

HSKLU ingin dibangunkan susulan kemajuan pesat di kawasan sekitarnya, termasuk projek perumahan Saujana Putra, Lebuhraya Elite, ladang Boh Bukit Cheeding dan Gamuda Cove.

Proses penukaran status tanah dibuat mengikut Seksyen 11 (b) Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1985 yang membenarkan negeri mengeluarkan kawasan hutan simpan jika mendapati ia ada kegunaan
ekonomi yang lebih tinggi.

Kerajaan Selangor bagaimanapun perlu menggantikan hutan simpan kekal di tanah lain yang lebih kurang sama saiznya seperti diperuntuk dalam Seksyen 12 Akta Perhutanan Negara 1984.


Pengarang :