Penyanyi XPDC Mohd Ali Ismail
AGENDANASIONAL

Simpan wang bekal kecemasan, nasihat Ali XPDC untuk artis muda

PELABUHAN KLANG, 15 SEPT: Artis muda diingatkan supaya konsisten menyimpan wang lebihan pendapatan kerjaya seni mereka bagi kegunaan kecemasan dan masa depan.

Vokalis kumpulan XPDC, Ali berkata pendapatan diperoleh melalui aktiviti nyanyian mahupun lakonan tidak seharusnya diboroskan semata-mata mahu mengejar gaya hidup mewah.

Menurut pemilik nama lengkap Mohd Ali Ismail, 53, rakan artis perlu sedar akan lumrah kehidupan sebagai anak seni yang ada pasang surut dan tidak selamanya berada di puncak.

“Saya sendiri pernah mengalami zaman kegemilangan suatu ketika dahulu namun segalanya sudah berlalu. Memang begitu karier anak seni, ada ketika kita di atas dan sampai satu masa kita di bawah.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Ahmad Azri Zainal Nor menyampaikan sumbangan kepada penyanyi XPDC Mohd Ali Ismail dalam program lawatan dan sumbangan CSR MBI di Kampung Rantau Panjang, Klang pada 15 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Jadi, rakan artis terutama yang baru bertapak dalam industri kena ingat bahawa dunia ini banyak ujian dan cabaran. Sebab itu pentingnya mereka memiliki simpanan, mudah-mudahan Allah pelihara,” katanya.

Beliau ditemui selepas menerima bantuan kewangan berjumlah RM1,000 dan bakul makanan sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) di kediamannya di Kampung Rantau Panjang di sini hari ini.

Sementara itu, Ali mengakui ramai selebriti terutama veteran dihimpit kesusahan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan tiada tawaran lakonan dan nyanyian.

Begitupun, bapa kepada lima cahaya mata menasihati mereka supaya mengikis perasaan malu untuk tampil memohon bantuan daripada mana-mana pihak.

“Kami mewujudkan kumpulan WhatsApp yang menghimpunkan rakan-rakan artis dan ada dalam kalangan mereka mengadu nasib serta masalah sepanjang PKP. Sebagai rakan kami saling nasihat-menasihati antara satu sama lain.

“Kadangkala mereka buat persembahan nyanyian secara langsung di media sosial dengan menyertakan nombor akaun. Bagi penonton yang faham, mereka akan bantu dan begitulah sebaliknya,” kata pelantun lagu Bunga Angkasa.

2 September lalu, Ali dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat serangan jantung dan menjalani rawatan selama tujuh hari.


Pengarang :