Orang ramai melakukan aktiviti riadah bersama keluarga di Pantai Morib, Banting selepas kerajaan mengumumkan kelonggaran dalam fasa dua Pelan Pemulihan Negara ketika tinjauan pada 11 September 2021 . Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Situasi Covid-19 negeri semakin pulih, penduduk jangan alpa

SHAH ALAM, 30 SEPT: Dato’ Menteri Besar bersyukur situasi Covid-19 di negeri ini semakin pulih dengan jumlah kes, kadar penggunaan katil dan kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) telah menurun.

Bagaimanapun, Dato’ Seri Amirudin Shari mengingatkan penduduk jangan alpa, lalai dan meneruskan amalan norma baharu iaitu memakai pelitup muka, penjarakan fizikal serta kebersihan diri.

“Alhamdulillah situasi Covid-19 di Selangor telah semakin pulih. Jumlah kes, kadar penggunaan katil dan ICU telah menurun. Namun kita jangan sesekali alpa dan lalai.

“Teruskan amalan norma baharu; pakai pelitup muka, jaga jarak fizikal dan kebersihan diri,” kata beliau di Facebook.

Sementara itu, menerusi rakaman suara ketika Sidang Dewan Negeri (DNS) yang turut dikongsi, Amirudin memberi amaran kepada penduduk negeri terus kekal mengamalkan SOP agar kejayaan hari ini tidak sia-sia.

“Amaran saya sekali lagi, jangan gembira sangat. Walaupun ada cahaya di hujung terowong, kita kena lihat pengajaran daripada negeri-negeri lain.

“Kalau kita tak mengekalkan apa yang dikatakan norma baharu, pakai pelitup muka, bersihkan tangan, kita masih menggangap ini sebagai pandemik, tidak menggangapkan sebagai satu endamik..ia akan jadi musnah,” katanya.

Semalam, perdana menteri mengumumkan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa esok.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Peralihan fasa dibuat setelah mengambil kira penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.


Pengarang :