Jemaah menunaikan solat Jumaat di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya pada 17 September 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Solat jemaah di masjid, surau WP dibenar kapasiti penuh esok

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Kehadiran jemaah bagi solat Jumaat, fardu dan lain-lain di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan adalah mengikut kapasiti sebenar masjid dan surau dengan penjarakan fizikal 1.5 meter (m) berkuat kuasa esok.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Datuk Mohd Ajib Ismail berkata ketetapan baharu itu dilaksanakan selepas mendapat perkenan Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah dan selaras dengan Peralihan Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Beliau berkata semua masjid dan surau juga dibenarkan untuk melaksanakan aktiviti pengimarahan antaranya seperti kuliah maghrib, tazkirah sebelum solat Jumaat, tadarus al-Quran, bacaan Yasin dan doa tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP) dikeluarkan.

“Semoga umat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan terus mematuhi SOP ditetapkan dan memanfaatkan peluang tersebut untuk mengimarahkan masjid dan surau serta bermunajat dan berdoa agar penularan wabak Covid-19 segera berakhir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

– BERNAMA


Pengarang :