Selangorkini
Ketua pasukan Selangor FC Brendan Gan. Foto Facebook Brendan Gan
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Solidariti terhadap Brendan Gan, pemain Selangor FC botakkan kepala (VIDEO)

SHAH ALAM, 25 SEPT: Beberapa pemain Selangor FC mengambil tindakan membotakkan kepala sebagai tanda solidariti terhadap ketua pasukan mereka, Brendan Gan yang menghidap kanser testis.

Menerusi video dimuat naik Selangor FC di Instagram, Khairulazhan Khalid, Ashmawi Yakin, Wan Zack Haikal Wan Noor, Mohammad Nor Hakim Hassan dan Taufiq Ar Rasyid turut mendoakan pemain tengah berusia 33 tahun itu segera sembuh.

Video seminit turut memaparkan Wan Zack Haikal yang juga pemain tengah Selangor FC menyuarakan kerinduan terhadap pemain kacukan Malaysia-Australia itu.

“Kepada kapten kami, @brendangan, ini (botak kepala) khas untuk anda,” memetik keterangan pada video dikongsikan kelab itu yang disertakan tanda pagar #HereWithBrendan dan #KitaAdalahSatu.

Hantaran tersebut turut mendapat maklum balas daripada Brendan Gan yang menganggap tindakan rakan sepasukannya itu mendorongnya untuk lebih bersemangat.

“Ia membuatkan saya mahu berjuang lebih lagi! Terima kasih rakan-rakan,” tulisnya.

Setakat berita ini ditulis, video berkenaan meraih 48,024 tontonan dan 15,735 tanda suka.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata penyokong terharu dengan penghormatan dan penghargaan diberikan pemain terbabit kepada Brendan Gan.

Pada 26 Julai lalu, Selangor FC mengesahkan kapten pasukan itu menghidap kanser testis dan berjaya menjalani pembedahan membuang ketumbuhan, namun kini dalam pemantauan pakar perubatan.

Kekangan itu menyebabkan pemain terbabit diketepikan untuk tempoh yang panjang pada Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Brendan mula menyertai Selangor musim lalu selepas mewakili beberapa pasukan Liga M sebelum ini termasuk Perak dan Kelantan.


Pengarang :