Penyelaras DUN Bukit Antarabangsa Suzana Shaharudin bercakap kepada SelangorKini ketika program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Dataran Santai Ampang Point, Ampang pada 16 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Sukarelawan Team Selangor masak makanan, agih kepada 400 keluarga

AMPANG, 17 SEPT: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa mengedarkan mangkuk tingkat berisi juadah makan tengah hari kepada penduduk memerlukan sejak minggu lalu.

Penyelarasnya Suzana Shaharudin berkata inisiatif dengan kerjasama sukarelawan Team Selangor memanfaatkan kira-kira 400 keluarga setakat ini.

“Makanan tengah hari dimasak oleh sukarelawan terbabit untuk diagihkan kepada keluarga susah. Kita sudah masuk ke kawasan Pangsapuri Seri Nila, Kampung Baru Ampang, Kampung Sungai Sering dan Kampung Kuala Ampang.

“Semalam, kita sumbangkan 25 lagi mangkuk tingkat kepada penduduk di Kampung Melayu Ampang. Kita juga akan berbincang dengan Team Selangor untuk meneruskan program ini dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak peringkat DUN Bukit Antarabangsa di Dataran Santai Ampang Point di sini.

Sementara itu, Suzana memaklumkan lebih 3,000 bakul makanan disalurkan kepada individu terjejas wabak sejak awal tahun sehingga kini.

Menurutnya, pek mengandungi beras, tepung, gula dan milo bernilai RM50 setiap satu diberi mengikut senarai diperoleh melalui persatuan penduduk, ketua kampung dan Ketua Komuniti India (KKI).

“Kita juga tidak melupakan keluarga yang mengibarkan bendera putih dan individu dikuarantin dengan agihan dibuat dari rumah ke rumah oleh pegawai pejabat penyelaras pusat khidmat masyarakat,” katanya.


Pengarang :