AGENDANASIONAL

Sultan, Raja Muda zahir takziah pemergian Ken Worden

SHAH ALAM, 23 SEPT: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas jurulatih Selangor Ken Worden yang meninggal dunia pada Isnin lalu.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Amir Shah sedih serta simpati menerima khabar pemergian mendiang Worden atau nama penuhnya Kenneth Joseph Worden pada usia 78 tahun.

“Baginda menzahirkan rasa sedih yang amat mendalam di atas berita kematian Ken Worden. Baginda mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang dan meluahkan rasa simpati dalam tempoh yang sukar ini,” menurut kenyataan Selangor Royal Office menerusi Facebook hari ini.

Worden dilahirkan pada 2 Februari 1943 di Preston, England dan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Townsville, Queensland, Australia.

Ketika bertindak selaku jurulatih Gergasi Merah pada 1991, beliau membantu Selangor menjulang kejuaraan Piala FA dan naib juara Piala Malaysia.

Mendiang kemudiannya dilantik sebagai jurulatih kebangsaan selama dua tahun bermula Januari 1992 dan Malaysia menjuarai Kejohanan Jemputan Vietnam, Piala Jakartaraya 1992 serta Pestabola Merdeka 1993.

Worden kembali memimpin Selangor setahun kemudian dengan catatan cemerlang memenangi Piala Malaysia 1995 dan 1996.

Selepas meneruskan karier kejurulatihan bersama beberapa pasukan tempatan, beliau sekali lagi pulang ke pangkuan Gergasi Merah untuk menjulang Piala Sumbangsih dan Piala Malaysia pada 2002.

Untuk rekod, Worden pernah dikurniakan darjah kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S) pada 1996 oleh Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj bagi menghargai jasa dan baktinya.


Pengarang :