Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan Selangor dukacita, amat kecewa 96 individu tolak vaksin

SHAH ALAM, 22 SEPT: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor amat kecewa apabila diberitahu seramai 96 individu dalam kalangan guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa), ahli jawatankuasa masjid dan jurunikah menolak untuk divaksin.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah, kedegilan individu tertentu ini akan menyusahkan urusan rakyat jelata terutamanya murid-murid yang akan meneruskan pembelajaran Kafa.

“Beta turut kecewa apabila hanya 203 orang sahaja hadir pada program vaksinasi khas Covid-19 petugas barisan hadapan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah berbanding 873 jumlah kesemuanya.

“Beta akan meneliti nama individu yang memutuskan untuk tidak divaksin dan satu ketetapan berhubung tindakan yang akan diambil terhadap mereka bakal ditentukan kelak,” titah Baginda dalam kenyataan di Facebook.

Baginda menegaskan, pelbagai inisiatif dan cara telah dilakukan khususnya daripada gesaannya sendiri dengan kerjasama Jais dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) demi memastikan kesejahteraan seluruh umat Islam di Selangor.

“Ini termasuk memperluas dan mempermudah pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada petugas masjid dan pejabat agama bagi membolehkan umat Islam kembali menunaikan ibadah dan melakukan aktiviti keagamaan seperti biasa,” titah Baginda.

Pada 2 September, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bertitah guru Kafa, pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksin berkemungkinan tidak dibenar meneruskan tugas.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah mereka sepatutnya sedar akan risiko jangkitan dan vaksin dapat mengelakkan kesan lebih buruk termasuk kematian.


Pengarang :