Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan titah guru Kafa, pegawai masjid enggan divaksin mungkin tidak dibenar bertugas

SHAH ALAM, 2 SEPT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor mengingatkan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) yang enggan divaksin berkemungkinan tidak dibenar meneruskan tugas.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah tindakan sama turut dikenakan kepada pegawai masjid dan jurunikah yang tidak mahu menerima suntikan pelalian Covid-19.

“Beta telah menerima laporan terperinci daripada pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengenai maklumat pengambilan vaksin Covid-19 dalam kalangan guru Kafa, pegawai masjid dan surau serta jurunikah di negeri ini.

“Beta ingin mengingatkan kepada guru Kafa yang masih berdegil ini, mereka berdepan kemungkinan tidak dibenar untuk meneruskan tugas. Begitu juga kepada pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksin, mereka juga berhadapan dengan tindakan sama,” titah Baginda menerusi kenyataan hari ini.

Berdasarkan laporan Jais, Baginda difahamkan seramai 316 guru Kafa yang belum mendapat vaksin dan 95 daripadanya enggan disuntik.

Manakala, seramai 59 pegawai masjid juga belum menerima vaksin dan 11 daripadanya tidak mahu serta enam daripada sembilan jurunikah belum divaksin turut memilih enggan divaksinasi.

“Beta berharap pihak Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dapat menyegerakan proses vaksinasi Covid-19 kepada golongan ini.

“Mereka sepatutnya sedia maklum jika dijangkiti virus Covid-19, suntikan vaksin dapat mengelakkan seseorang itu daripada menerima kesan yang lebih buruk termasuk kematian,” titah Baginda lagi.

Sementara itu, Sultan Sharafuddin menyeru seluruh rakyat Selangor supaya menerima suntikan pelalian di pusat pemberian vaksin berhampiran demi kebaikan diri dan masyarakat sekeliling.

“Beta juga difahamkan bahawa ada 268 guru sekolah rendah kebangsaan dan 182 guru sekolah menengah kebangsaan di Selangor turut enggan divaksin. Ini boleh membahayakan pelajar sekolah dan perkara ini perlu diambil perhatian oleh pihak berwajib,” titah Baginda.

Baginda turut mengingatkan vaksin merupakan satu-satunya cara untuk mengatasi penularan wabak dan perkara itu telah disahkan oleh pakar perubatan.

“Beta suka mengingatkan Selangor telah mengeluarkan fatwa bahawa pengambilan vaksin Covid-19 adalah diharuskan.

“Justeru, rakyat beta tidak perlu khuatir atau ragu-ragu untuk mendapat suntikan vaksin. Isu berkaitan pengambilan vaksin Covid-19 ini telah banyak kali disebut dalam khutbah Jumaat dan menerusi kenyataan akhbar yang beta keluarkan,” titah Baginda.


Pengarang :