Pelajar tingkatan empat dan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Matang Kuching beratur untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer di Klinik Kesihatan Kampung Telaga Air pada 8 September 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Suntikan vaksin pelajar dibuat berperingkat, seiring tarikh buka sekolah

SHAH ALAM, 9 SEPT: Pemberian vaksin kepada remaja berumur 18 tahun ke bawah akan dibuat secara berperingkat seiring tarikh pembukaan sekolah, kata Menteri Kesihatan.

Khairy Jamaluddin berkata pihaknya akan terus mempergiat dan berusaha menyelesaikan isu suntikan pelalian kepada golongan tersebut meskipun sekolah dibuka.

“Kita telah bermesyuarat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia tadi, mengenai perancangan vaksin untuk golongan remaja, saya serah kepada menteri pendidikan untuk buat pengumuman bila sekolah dibuka.

“Tetapi kita setuju proses vaksin dijalankan berperingkat dan serentak dengan pembukaan sekolah,” katanya pada sidang media hari ini.

Bagaimanapun, Khairy yakin tindakan itu paling mudah dan berkesan untuk memastikan kesemua remaja bawah 18 tahun menerima vaksin.

Sebelum ini, Khairy mengumumkan inisiatif itu akan dimulakan di Sarawak susulan kelancaran negeri tersebut yang kini sudah mencapai kadar sasaran lebih 80 peratus populasi dewasanya divaksin.

Selain itu, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin mengumumkan sesi persekolahan secara bersemuka akan tetap dilaksanakan pada 3 Oktober ini.


Pengarang :