Kerja-kerja penggalian mengeluarkan runtuhan tanah yang menghalang aliran air di Sungai Kemensah semalam. Foto Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor
AGENDANASIONAL

Tanah runtuh: Kerja penggalian Sungai Kemensah selesai semalam

SHAH ALAM, 20 SEPT: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor selesai melakukan kerja-kerja penggalian Sungai Kemensah di kawasan tanah runtuh dekat Jalan Kemensah Heights semalam.

Pengarah Datuk Ir Gapar Asan berkata pihaknya mengambil tindakan segera dengan menggali sungai yang tertutup menggunakan jengkaut untuk kelancaran aliran air.

“Kerja-kerja penggalian mengambil masa sehari sahaja iaitu semalam. Aliran sungai di Sungai Kemensah itu tertutup akibat kesan runtuhan tanah dari lot banglo terlibat.

“Sekiranya tidak melakukan pembersihan sungai dengan segera ia memberi kesan kepada rumah bandar kerana akan berlaku hakisan pada tiang-tiang premis tersebut,” katanya kepada SelangorKini.

Menurut Ir Gapar kerja-kerja memasang cerucuk besi di kawasan tanah runtuh itu hanya dilakukan selepas pihaknya menerima laporan daripada Jabatan Mineral dan Geologi Sains (JMG).

“Cerucuk besi ini bertujuan menahan sementara tanah itu daripada runtuh semula. Sejurus laporan diterima kita akan mula melakukan reka bentuk dan cara pemasangan besi,” katanya.

Pada 18 September, Kerajaan Negeri mengisytihar lokasi kejadian tanah runtuh di Kemensah Heights sebagai kawasan bencana.

Dato’ Menteri Besar berkata tiga unit banglo terlibat dalam kejadian tanah itu belum selamat diduduki dan penduduk diminta untuk berpindah serta begitu juga dengan 24 unit rumah bandar terlibat turut disaran berpindah buat sementara waktu.

Malah, ketika meninjau lokasi kejadian Dato’ Seri Amirudin Shari turut memberi bantuan awal RM500 kepada 27 keluarga yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh untuk urusan pemindahan atau menampung kos mengeluarkan barang.


Pengarang :