EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman melepaskan ikan toman ketika merasmikan The Tomanz Tangkap dan Lepas di Unisel kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 18 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Tasik ikan toman di Unisel, tarikan baharu kaki pancing

BESTARI JAYA, 18 SEPT: Kerajaan Negeri menyokong usaha Universiti Selangor (Unisel) mewujudkan tasik pancingan tangkap dan lepas ikan toman sebagai tarikan baharu kepada pemancing setempat dan luar.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata tasik The Tomanz dengan keluasan 30 ekar di kampus Bestari Jaya mampu berkembang menjadi pelopor kepada sukan rekreasi di negeri ini.

“Setelah melihat sendiri persekitaran The Tomanz, saya yakin tasik ini boleh menjadi salah satu lokasi ekopelancongan menarik di Selangor kerana suasananya berlatar belakang landskap hijau.

“Semestinya tasik ini mampu memberikan pengalaman yang baik kepada kaki pancing yang mahukan suasana alam semulajadi,” katanya selepas merasmikan pertandingan memancing tangkap dan lepas ikan toman dan pembukaan The Tomanz di sini hari ini.

Hadir sama, Presiden dan Naib Canselor Unisel Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman dan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor Mohamad Nizam Marjugi.

Pada majlis itu, Mohd Khairuddin turut mengumumkan insentif RM10,000 bagi merancakkan aktiviti di tasik berkenaan.

Sementara itu, Dr Mohammad Redzuan berkata kira-kira 200 ekor ikan toman lagi akan ditambah bagi memberi peluang kepada pemancing mendapat tangkapan.

“Apabila orang memancing sudah tentu mereka nak dapat ikan, agak sukar untuk mereka tangkap jika ikan tidak cukup dan setakat ini lebih 100 ekor toman dilepaskan ke dalam tasik.

“Projek The Tomanz bukan sekadar tangkap dan lepas tetapi kita bercadang untuk menjalankan penyelidikan bagaimana membiakkan ikan toman bagi tujuan komersial,” katanya.

 

 


Pengarang :